Tengku Zafrul beri keterangan dalam kes Muhyiddin bulan depan

KUALA LUMPUR: Tengku Zafrul Aziz menjadi saksi pendakwaan seterusnya yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan kepada Hakim Noor Ruwena Nurdin, bekas menteri kewangan itu akan memberi keterangan dalam prosiding seterusnya pada 6 Julai ini.
Peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad, memberitahu mahkamah pihak pembelaan belum menerima kenyataan saksi Tengku Zafrul.
“Kami masih belum terima kenyataan saksinya. Saya difahamkan kenyataan itu agak panjang,” katanya.
Dalam maklum balasnya, Wan Shaharuddin berkata pihak pendakwaan akan menyerahkan kenyataan itu kepada pembelaan selewat-lewatnya pada 19 Jun.
Tengku Zafrul adalah menteri kewangan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dari Februari 2020 hingga Ogos 2021.
SUBHEAD: Pendakwaan ditegur
Hakim turut menegur pihak pendakwaan selepas memohon supaya prosiding esok ditangguhkan dengan alasan saksi mereka, seorang pegawai Jabatan Kerja Raya bercuti sempena Aidiladha yang akan disambut pada Rabu.
“Saya harap kes ini diberi keutamaan seperti kes lain. Ini adalah kes berprofil tinggi. Orang ramai memerhati dan ia perlu diberi keutamaan.
“Saya pasti Tan Sri (Muhyiddin) juga mahu kesnya diselesaikan segera. Jika tidak, ia akan menjejaskan pergerakannya,” katanya sambil mengingatkan pihak pendakwaan menutup kes sebelum 14 Sept.
المصدر: Free Malaysia Today